Berikutan itu, serbuan besar-besaran melibatkan 100 anggota pelbagai pihak berkuasa antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mencatat rampasan paling rendah iaitu 29 unit komputer.
Menurut jurucakap penguat kuasa MBMB, antara premis yang didapati kosong semasa serbuan ialah lapan premis di Taman Semabok Perdana, Taman Malim Jaya (empat), Bukit Beruang (empat), Taman Paya Rumput Utama (tiga), Taman Seri Paya Rumput (dua), Taman Cheng Perdana (dua) dan masing-masing satu di Taman Cheng Permai serta Taman IKS Paya Rumput.
“Boleh dikatakan sebahagian besar pemilik bertindak awal me­ngosongkan premis masing-masing bagi mengelak daripada serbuan yang dijalankan sejak operasi menggempur pusat judi haram dilaksanakan di seluruh negara Ahad lalu.
“Ada premis yang hanya terdapat kerusi dan meja,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Tambah jurucakap itu, operasi membanteras judi haram kali ini telah dipecahkan kepada empat kumpulan dan mereka bergerak serentak bermula pukul 10 pagi dan berakhir pukul 2 petang.
Ujarnya, rampasan yang berjaya dilakukan ialah lapan unit komputer masing-masing di Taman Paya Rumput Utama dan Taman Seri Paya Rumput manakala Taman Semabok Perdana (13).
Serbuan itu turut membabitkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Jabatan Agama Islam Me­laka (Jaim), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Suruhanjaya Tenaga.