Search This Blog

Tuesday, November 18, 2014

23 kontraktor kelas F didakwa kemuka tuntutan palsu


Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
DUNGUN: Seramai 23 kontraktor kelas F termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini, atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu terhadap projek baik pulih rumah nelayan di sekitar Dungun dan Paka.
Semua mereka berusia antara 30 hingga 50 tahun didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.
Semua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan pendaftar mahkamah di hadapan Hakim Murtazadi Amran.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai butiran yang palsu atau silap itu, jika butir yang palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mengikut pertuduhan, semua mereka didakwa mengemukakan tuntutan palsu terhadap projek berkenaan yang setiap satu bernilai RM9,500 antara November 2011 hingga Januari 2013.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh dan Amir Abu Bakar manakala semua tertuduh diwakili peguam Ghazali Ismail dan Alias Abdullah.
BH hari ini melaporkan 24 kontraktor yang dilantik di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) bagi Parlimen Dungun dan Paka ditahan selepas menyerah diri di Pusat Operasi SPRM Dungun tengah hari semalam.
Mereka ditahan selepas menyerah diri bagi membantu siasatan selepas menerima notis untuk menghadiri pemeriksaan.
Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin antara RM3,000 hingga RM4,000 seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 16 Disember depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment