Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut.
Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut.
GEORGETOWN - Tidak pernah serik. Walaupun pernah diserbu beberapa kali oleh pihak penguatkuasa sebelum ini namun beberapa pusat hiburan di Midlands Park, Pulau Tikus di sini didapati masih beroperasi dengan manawarkan khidmat wanita pelayan pelanggan (GRO) kepada pengunjung.

Dalam serbuan Ops Noda oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bermula jam 1 pagi tadi, 20 wanita warga asing dikesan berkhidmat sebagai GRO di tiga pusat hiburan di bangunan itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, 17 daripadanya warga China dan tiga Vietnam.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kesemuanya melakukan kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial, menyalahgunakan permit kerja dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata, mereka yang berusia antara 23 hingga 40 tahun itu cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis namun gagal apabila pusat hiburan berkenaan dikepung terlebih dahulu.

"Kita melakukan pemantauan rapi sebelum menyerbu pusat hiburan berkenaan kerana ia mempunyai laluan tikus untuk melarikan diri selain menggunakan khidmat tonto untuk memerhati kehadiran polis.

"Polis turut menahan lima tonto yang dipercayai menyalurkan maklumat kepada pengusaha pusat hiburan dan cuba mengganggu tugas pihak berkuasa," katanya ketika ditemui dilokasi serbuan awal pagi tadi.

Mior Farid berkata, semua wanita itu akan disiasat mengikut Seksyen 55 B (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja yang tidak memiliki pas yang sah, Seksyen 6(3) akta sama kerana tidak memiliki dokumen sah dan Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial.

Dalam operasi itu, polis turut menahan 42 pelanggan warga tempatan yang berhibur di pusat berkenaan membabitkan 32 lelaki dan 10 wanita untuk saringan air kencing.

"Kita mengesyaki ada antara mereka yang menyalahgunakan dadah ketika berhibur.

"Kesemua yang ditahan dibawa  ke IPD Timur Laut untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut," katanya.