Sebahagian wanita warga Vietnam ditahan ketika sedang leka melayan pelanggan di sebuah premis di Taman Johor Jaya, awal pagi, semalam.
Sebahagian wanita warga Vietnam ditahan ketika sedang leka melayan pelanggan di sebuah premis di Taman Johor Jaya, awal pagi, semalam.
JOHOR BAHRU - Seramai 18 wanita warga Vietnam ditahan ketika sedang melayan pelanggan dalam serbuan yang dijalankan Jabatan Imigresen Johor di sebuah premis karaoke di Jalan Ros Merah, Taman Johor Jaya di sini, awal pagi semalam.

Serbuan dilakukan pada kira-kira jam 12.20 pagi, semalam selepas beberapa pegawai penguatkuasa melakukan penyamaran sebagai pelanggan bagi mengesan kegiatan yang dilakukan.

Ketika serbuan, sebahagian wanita warga asing yang terkejut dengan kehadiran pegawai penguatkuasa turut bertindak melarikan diri dan bersembunyi di dalam bilik air untuk mengelak dicekup.

Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johor, Khairulanuar Abu Bakar berkata, serbuan dilakukan selepas menerima aduan orang awam dan seramai 27 orang telah diperiksa dalam operasi itu.

“Hasil pemeriksaan itu seramai 18 wanita warga Vietnam ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, semua mereka didapati pekerja di premis berkenaan dan mempunyai nombor badan masing-masing,” katanya.

Dalam pada, dua lelaki warga tempatan berusia 36 dan 40 tahun yang  jugapengurus premis berkenaan turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).

Khairulanuar berkata, operasi tamat kira-kira jam 1 pagi dan semua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Bahagian Penguatkuasa Kompleks KDN Setia Tropika untuk siasatan lanjut.