Search This Blog

Tuesday, November 18, 2014

165 PATI ditahan Jabatan Imigresen

SELASA, 18 NOVEMBER 2014 @ 1:47 PM

 
KUALA LUMPUR : Seramai 165 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen dalam dua operasi berasingan dijalankan agensi itu di ibu negara dan Selangor, malam tadi.

Daripada jumlah itu, 112 PATI ditahan di Shah Alam, sementara 53 lagi di Kuala Lumpur atas kesalahan tidak memiliki dokumen penjalanan sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

Kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 berkaitan dokumen pengenalan diri serta seksyen 15(1)(c) akta sama, kerana tinggal lebih masa.

Operasi bermula seawal jam 10 malam itu turut disertai Ketua Pengarah Imigresen yang baharu, Datuk Mustafa Ibrahim serta lebih 120 pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur dan Selangor serta anggota RELA.

Dalam operasi terbabit, beberapa kawasan sasaran digempur termasuk di rumah kongsi warga asing di sebuah tapak pembinaan di Sentul serta penempatan haram di kawasan persekitaran Setia Prima Seksyen U13, Shah Alam.

Dalam pada itu, ketika ditemui media malam tadi, Mustafa menjelaskan agensinya optimis mahu menggembleng usaha menangani kebanjiran PATI di negara ini yang dianggarkan kini sudah mencecah ratusan ribu orang.

No comments:

Post a Comment