Dr Awaluddin (tiga dari kiri) bersama peserta yang mengikuti seminar, diiringi Dr Zailan (kiri sekali) dan Datuk Mohd Yusuf (dua dari kiri).
Dr Awaluddin (tiga dari kiri) bersama peserta yang mengikuti seminar, diiringi Dr Zailan (kiri sekali) dan Datuk Mohd Yusuf (dua dari kiri).
SEREMBAN – Sebanyak 1188 kes baru hamil dalam kalangan remaja berusia dari 10 hingga 19 tahun dilaporkan bagi tempoh 2010 sehingga 2013, di negeri ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Zailan Adnan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 571 kes iaitu 48 peratus adalah tidak berkahwin.

Beliau berkata, antara faktor yang menjurus ke arah masalah seksual reproduktif remaja adalah kurangnya pengetahuan dan kemahiran mengenai kesihatan seksual dan reproduktif.

“Selain itu, faktor lain seperti pengaruh rakan sebaya, konflik keluarga, kurang pendidikan agama serta pengaruh teknologi komunikasi, internet dan globalisasi turut menjadi punca masalah ini berlaku,” katanya ketika berucap pada Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan Peringkat Negeri Sembilan 2014 di Pusat Dakwah Islamiah semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Dr Awaluddin Said dan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusuf Ahmad.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyediakan garis panduan pengendalian masalah kesihatan seksual dan reproduktif remaja di semua klinik kesihatan.

“Garis panduan itu mengambil kira aspek perundangan, etika, hak, agama dan sosiobudaya,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Dr Zailan memberitahu, daripada kajian ekonomi kesihatan yang dijalankan sejak enam tahun lalu, menunjukkan perbelanjaan kerajaan (Malaysia) untuk merawat tiga penyakit akibat merokok iaitu membabitkan sakit jantung, kanser paru-paru dan penyakit kerosakan paru-paru kronik sahaja, mencecah lebih RM3 bilion setahun.

Katanya, keadaan merokok dalam masyarakat di negara ini masih belum terkawal.

“Sementara itu, hasil tinjauan Global Youth Tobacco Survey (GYTS) 2009 pula mendapati tabiat merokok di kalangan remaja perempuan berumur 13 hingga 15 tahun telah meningkat daripada 4.2 peratus kepada 5.3 peratus dan keadaan ini amat membimbangkan,” katanya.