Mohd Zakaria (dia kanan) bersama pegawainya menunjukkan rampasan termasuk wang tunai, dokumen pertaruhan dan peralatan elektronik yang dirampas daripada suspek.
Mohd Zakaria (dia kanan) bersama pegawainya menunjukkan rampasan termasuk wang tunai, dokumen pertaruhan dan peralatan elektronik yang dirampas daripada suspek.
KUANTAN - Belum sempat pihak polis menarik nafas lega susulan kejayaan membanteras kegiatan judi internet secara habis-habisan di negeri ini, kini timbul pula kegiatan perjudian baharu membabitkan pertaruhan lumba kuda haram yang dipercayai didalangi sindiket luar.

Susulan maklumat dan intipan selama dua minggu, polis berjaya mengesan aktiviti tersebut dan hasilnya 10 individu termasuk dua wanita berjaya ditahan ketika leka berurusan di sekitar bangunan  Lembaga Totalisator Malaysia, Taman Perindustrian Semambu di sini, kelmarin.

Hasil enam serbuan yang dilakukan pegawai dan anggota Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang antara jam 3 petang hingga 7 malam itu, kesemua suspek warga tempatan berusia 44 hingga 72 tahun berjaya ditahan secara berasingan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, susulan penahanan suspek, pihaknya turut merampas beberapa bahan bukti termasuk wang pertaruhan RM43,901, 10 telefon bimbit, dua unit tablet, mesin kira, alat kelui, jadual lumba kuda, jadual nilai pertaruhan dan  beberapa alat tulis yang digunakan.

Menurutnya, pihaknya melancarkan serbuan Ops Dadu Khas Bookie Kuda susulan maklumat yang diterima berhubung penganjuran aktiviti haram itu.

“Kita percaya sindiket ini mengambil kesempatan mengubah modus operandi dengan menganjurkan pertaruhan judi lumba kuda haram ini bagi menggantikan judi internet yang ‘tutup kedai’ selepas digempur habis-habisan.

“Kita dapati, sindiket ini mempunyai rangkaian luas dan menjadikan perlumbaan lumba kuda sama ada di dalam dan luar negara untuk pertaruhan,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Mohd Zakaria berkata, setiap kali ada perlumbaan, bookie akan mengambil pertaruhan secara tunai antara RM1,000 hingga RM2,000 daripada kaki judi manakala keputusannya diterima sama ada melalui telefon atau alat kelui.

“Kaki judi yang menang pertaruhan akan menuntut wang hadiah daripada bookie secara tunai,” katanya.

Menurutnya, sindiket ini dikesan mengambil kesempatan beroperasi di sekitar Lembaga Totalisator Malaysia yang menguruskan pertaruhan lumba kuda berlesen untuk menarik pelanggan.

“Mereka juga agak licik dan berpengalaman dalam menguruskan pertaruhan lumba kuda haram ini termasuk menggunakan kod khas bagi mengelabui mata pihak berkuasa,” katanya.

“Kita juga dapati mereka tidak menggunakan kertas untuk mencatat angka taruhan sebaliknya  hanya menulis di anggota badan atau melalui cara yang tersendiri,” katanya.

Mohd Zakaria berkata, kegiatan itu dipercayai baru bertapak dan memiliki rangkaian sindiket termasuk dari Lembah Kelang.

Justeru beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu supaya memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan supaya ianya dapat dibendung lebih awal sebelum berleluasa.