JASIN - Seorang warga emas yang juga ibu tunggal terpaksa menerima lebih 15 jahitan selepas lengan kanannya cedera akibat diserang seekor babi hutan di Kampung Hulu, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.05 pagi, mangsa, Khatijah Abd Rahman, 81, berjalan kaki dari rumah anaknya untuk pulang ke rumahnya sebelum diserang binatang itu di tengah perjalanan.

Saksi kejadian, Rokiah Yunus, 47, berkata, dia yang sedang bersiap-siap untuk pergi menoreh terkejut mendengar jeritan warga emas tersebut di depan rumahnya dan terus bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.

Menurutnya, dia terkejut melihat mangsa terjatuh dan terduduk di tengah jalan dalam masa yang sama babi hutan tersebut masih lagi berada di sisi mangsa.

“Saya terdengar mangsa menjerit 'anjing gigit, anjing gigit' dan menghampiri mangsa, namun tergamam kerana babi hutan bersaiz besar masih menyerang warga emas itu.
“Seorang anak saya menghalau binatang itu ke arah hutan berdekatan menggunakan sebatang besi.

“Saya terus memapah warga emas dan memaklumkan kepada anaknya, sebelum suami saya menghantarnya ke Klinik Kesihatan Selandar,” katanya, semalam.

Sementara itu, anak mangsa, Maryam Yunus, 54, berkata, emaknya sering bermalam di rumahnya dan akan pulang ke rumahnya di awal pagi, namun tidak menyangka kejadian itu akan berlaku.

Menurutnya, dia terkejut apabila mlihat lengan emaknya cedera dan bermandikan darah sehingga terpaksa menukar pakaian lain sebelum mendapat rawatan ke hospital.

“Selepas dihantar ke Klinik Kesihatan Selandar, kami membawa emak mendapatkan rawatan ke hospital swasta," katanya.

Katanya, akibat serangan itu, emaknya menerima jahitan di tangan serta di leher selain luka di lutut.