Anggota bomba dan penyelamat melakukan operasi memadam kebakaran kereta berkenaan.
Anggota bomba dan penyelamat melakukan operasi memadam kebakaran kereta berkenaan.
JOHOR BAHRU – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya berhenti secara tiba-tiba dan mengeluarkan kepulan asap tebal sebelum terbakar ketika melalui Jalan Pesisir di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Siti Baizura Sharif yang sedang dalam perjalanan menuju ke Perbadanan Perpustakaan Awam Johor berjaya menyelamatkan diri sebelum keretanya hangus dalam kebakaran itu.

Katanya, dia terkejut apabila kereta jenis Citroen Xantia yang dipandunya berhenti secara tiba-tiba selepas dia singgah di sebuah stesen minyak berhampiran untuk mengisi petrol.

“Ketika itu agak panik kerana kereta tiba-tiba sahaja terhenti dan saya cepat-cepat keluar kerana bimbang ada kereta lain dari arah belakang yang mungkin terlanggar kereta ini.

“Saya sempat membawa keluar beberapa dokumen penting dan melintas ke tempat yang lebih selamat sebelum ternampak kepulan asap keluar dari bahagian hadapan kereta,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Baizura berkata, keretanya musnah teruk akibat kebakaran itu dan menanggung kerugian kira-kira RM10,000 kerana sebelum ini dia baru sahaja mengeluarkan perbelanjaan bagi membiayai kos selenggara kereta berkenaan.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Johor Jaya, Rahimin berkata, operasi memadam api berjaya ditamatkan dalam tempoh 20 minit.

“Lima anggota ditugaskan untuk mengawal keadaan dan tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan berlaku manakala punca kejadian masih disiasat,” katanya.