Search This Blog

Tuesday, October 14, 2014

Wanita maut kereta bertembung pacuan empat roda dekat Menglembu

IPOH: Seorang pemandu wanita maut manakala seorang lagi pemandu cedera apabila kenderaan yang dipandu mereka bertembung dalam satu kejadian di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran sebuah kilang kuari di Menglembu di sini, tengah hari tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Nur Shuhaida Wahab, 29, beralamat di Kampung Gunung Panjang, Gopeng. Mangsa yang memandu kereta jenis PROTON Wira meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux cedera di kepala dan badan serta dikeluarkan dengan bantuan orang ramai.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superitendan Sharudin Wan Omar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.25 tengah hari dan ketika kejadian, kereta yang dinaiki mangsa dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan di laluan berkembar mengakibatkan ia bertembung dengan Toyota Hilux yang berada di laluan bertentangan.
"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu yang cedera dihantar ke hospital oleh orang awam.
"Mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di Pusat Transformasi Desa (RTC) Gopeng," katanya di sini, sebentar tadi.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

No comments:

Post a Comment