Search This Blog

Tuesday, October 14, 2014

Wanita keliru dituduh cuba cederakan pemandu


PULAU PINANG 10 Okt. - Seorang penanam sayur kebingungan ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pemandu bas Rapid Penang, Isnin lalu.
Chong Lan Keow, 49, pada mulanya mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin namun mula nampak keliru apabila diberitahu hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.
Wanita itu juga dilihat gagal memahami pertuduhan yang dihadapinya apabila ditanya beberapa kali oleh Majistret L. Umma Devi.
Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh, Norliza Mohd. Ali memaklumkan mahkamah, Lan Keow mengalami masalah mental menyebabkan dia agak keliru.
Tambahnya, Lan Keow tidak pernah mendapatkan rawatan di hospital menyebabkan tiada rekod mengenai masalah kesihatan mental yang dihadapinya.
Oleh itu, Norliza memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dihantar ke hospital untuk pemantauan psikiatiri kerana Lan Keow tidak faham kenapa dia ditahan polis.
Umma Devi membenarkan permohonan Norliza dan mengarahkan Lan Keow dihantar ke Hospital Bahagia untuk pemantauan selama sebulan.
Pengakuan bersalah yang dibuat Lan Keow juga tidak diterima dan Umma Devi menetapkan 10 November ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkifli.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda dan sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi Isnin lalu, wanita itu didakwa menikam Aisyamudin Yaacob, 27, menggunakan pisau di dalam bas Rapid Penang di Jalan Paya Terubong dekat Relau hingga menyebabkan pemandu bas itu cedera parah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20141011/ma_03/Wanita-keliru-dituduh-cuba-cederakan-pemandu#ixzz3G4YrWrht
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment