Search This Blog

Tuesday, October 14, 2014

Wanita hadapi 59 pertuduhan



REDZAINI Radzuan diiringi anggota polis selepas didakwa atas 59 pertuduhan kes menipu membabitkan kerugian berjumlah kira-kira RM1 juta di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA
RASAH 10 Okt. - Seorang wanita hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban dekat sini atas 59 pertuduhan menipu urusan penjualan telefon bimbit melibatkan kerugian berjumlah hampir RM1 juta.
Tertuduh, Redzaini Radzuan, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon agar dibicarakan atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Mengikut pertuduhan, Redzaini yang memakai baju lokap berwarna ungu itu didakwa menipu enam mangsa termasuk seorang wanita dengan memperdaya mereka untuk mempercayai bahawa syarikat milikan tunggalnya, Redzaini Enterprise dapat membekal telefon bimbit yang ditempah.
Perbuatan itu menyebabkan mereka memindahkan wang yang kesemuanya berjumlah hampir RM1 juta ke dalam akaun bank tertuduh walhal kesemua mangsa tidak mungkin melakukan demikian jika mengetahui barang yang ditempah itu tidak wujud.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh antara Oktober tahun lalu dan Februari lalu di sekitar daerah Seremban.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farid Mohd. Mokhtar mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Redzaini yang diwakili peguam, Abdul Shukor Mohd. Yusof diikat jamin RM60,000 bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi dengan syarat, penjamin ialah ibu tertuduh.
Kes akan disebut semula pada 12 November ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20141011/ma_01/Wanita-hadapi-59-pertuduhan#ixzz3G4YiQFyP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment