PASIR PUTEH - Ular sawa seberat 80 kilogram (kg) yang mengancam ternakan penduduk di Kampung Gelam di sini, sejak beberapa bulan lalu berjaya ditangkap anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kelmarin.

Anggota JPAM, Fareez Helmi Ibrahim berkata, ular itu ditangkap jam 4 pagi di kawasan belakang pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selepas menerima aduan penduduk.

Menurutnya, beliau bersama empat lagi anggota tidak mengambil masa lama untuk menangkapnya walaupun ular itu agak agresif.

"Kami difahamkan ular itu sudah lama membaham ternakan penduduk, semalam ia memasuki reban itik yang berada tidak jauh dari kawasan habitatnya.

“Penduduk yang mengesyaki sesuatu selepas mendengar bunyi bising ternakan memeriksa reban dan mendapati ular itu masih berada di dalam reban tersebut,” katanya.

Ular itu katanya, dibawa ke Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Rhu kelmarin sebagai bahan pameran sebelum reptilia itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Fareez Helmi berkata, ular sawa batik atau nama saintifiknya, python reticulatus boleh membesar sehingga 10.05 meter dan merupakan ular terpanjang di dunia.

“Ular sawa mempunyai 400 gigi yang tersusun dua baris pada bahagian bawah dan empat baris pada bahagian atas mulutnya.

“Ligamen istimewa yang menyambungkan rahang atas dan bawah membolehkannya menelan mangsa tiga atau empat kali ganda saiz kepalanya,” katanya.

Katanya, kelebihan lain yang dimiliki ular sawa adalah berupaya mengesan haba mangsa berdarah panas walaupun pada waktu malam serta mengesan getaran mangsa pada tanah melalui tulang.

Katanya, orang ramai perlu berhati-hati kerana ular itu terlalu berbahaya dan boleh menyerang manusia pada bila-bila masa dengan kekuatan otot yang luar biasa walaupun tidak mempunyai bisa.