Sebuah kereta BMW milik ahli perniagaan yang terbakar di Kilometer 270 Lebuhraya Utara Selatan, baru-baru ini.
Sebuah kereta BMW milik ahli perniagaan yang terbakar di Kilometer 270 Lebuhraya Utara Selatan, baru-baru ini.
SEREMBAN – Pengubahsuaian kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan selain sistem pendawaian bermasalah serta di luar kemampuan enjin kenderaan antara punca utama kenderaan terbakar secara tiba-tiba.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, sebanyak 158 kes kenderaan terbakar direkodkan dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.

"Kes ini semakin meningkat berbanding tahun lepas apabila sebanyak 70 peratus kes diterima membabitkan kereta yang kebanyakannya berusia melebihi 10 tahun," katanya di sini, semalam.

Norazam bagaimanapun berkata, daripada jumlah kes tersebut, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan mangsa berjaya menyelamatkan diri lebih awal sebelum bomba tiba.

Sehubungan itu, beliau menasihati pemilik kereta agar tidak mengubah suai kenderaan masing-masing sehingga menyebabkan spesifikasi asalnya berubah.

Beliau berkata, ia terutama membabitkan segi enjin dan teknikal, selain sentiasa membuat pemeriksaan secara berkala.