KOTA BHARU - Seorang wanita menukar pengakuan terhadap tuduhan rompakan berkumpulan dengan senjata pistol dan parang, di mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh, Nurul Suhada Jusoh, 26, tukang masak dari Felda Bukit Sagu, Kuantan, Pahang, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas, merompak berkumpulan dengan senjata pistol dan parang ke atas pemilik butik pengantin, Nor Asuwah Ibrahim, 47, di sebuah rumah kedai, di Kampung Landak, di sini, pada jam 10.05 malam, 21 Julai lalu.

Dalam rompakan itu, tertuduh dan rakannya melarikan seutas gelang emas berlian, gelang emas bertulisan Jawi nama pemilik, komputer riba, beberapa jubah dan beg tangan berjenama yang dijual serta beg tangan mangsa, mengandungi pelbagai dokumen penting, wang tunai RM150, keseluruhannya bernilai RM20,000.

Pada mulanya, ketika dituduh pada sebelah pagi, Nurul Suhada mengaku salah sebelum prosiding ditangguhkan ke sebelah petang untuk fakta dan hukuman, namun ketika tuduhan sama dibacakan sekali lagi pada petang berkenaan, tertuduh menafikannya pula.

Turut dituduh bersamanya, rakannya, Sumiyyah Razali, 22, seorang jurujual di sebuah pasar raya dan beralamat di Jalan Gambang, Kuantan, Pahang, juga mengaku tidak salah terhadap tuduhan sama.

Susulan itu, Hakim, Mohd Yusoff Yunus menetapkan kes untuk sebutan semula pada 2 November depan.

Dalam perkembangan sama, seorang lagi rakan mereka, Rosman Mat Nasir, 40, mengaku salah menyimpan harta rompakan di sebuah rumah tumpangan di Kampung Air Tawar, Cherang Ruku, Pasir Puteh, pada jam 2 petang, 9 Ogos lalu.

Fakta dan hukuman terhadap pekerja rumah tumpangan itu diketahui hari ini. Rosman sebelum itu ditahan bersama-sama Nurul Syuhada dan Sumayah dalam satu serbuan polis di Pasir Puteh.

Sinar Harian pada 13 Ogos lalu melaporkan seorang pemilik butik pengantin melalui pengalaman ngeri diacukan pistol dan parang semasa dirompak seorang lelaki dan dua wanita berkain telekung.