Mayat yang ditemui dalam keadaan berulat dan dipercayai mati kira-kira empat hari lalu
Mayat yang ditemui dalam keadaan berulat dan dipercayai mati kira-kira empat hari lalu
MANJUNG - Seorang tukang cuci terkejut apabila menemui mayat dipenuhi ulat dan dimakan biawak di sebuah tapak pembinaan di Pantai Remis, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, tukang cuci berkenaan sedang melakukan kerja pembersihan longkang di kawasan berhampiran apabila mendengar bunyi bising dari belukar berdekatan.

Menurutnya, apabila menghampiri tempat itu, dia menjumpai satu mayat berulat yang dimakan biawak.

“Mayat berkenaan adalah seorang lelaki yang memakai seluar jeans dan masih berbaju.

“Saya segera menghubungi pihak polis supaya tindakan lanjut boleh diambil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, mangsa dipercayai meninggal dunia lebih daripada empat hari.

“Mangsa dipercayai dibunuh di kawasan berhampiran berdasarkan keadaan kaki yang cedera dan membengkok sebelum dibuang di dalam belukar.

Terdapat juga kesan tompokan darah di kawasan longkang berhampiran.

“Kita masih menyiasat identiti mangsa dan menunggu hasil bedah siasat,” katanya