Pegawai JPAM Daerah, Mohd Yusalmi Yusoff bersama mangsa yang selamat melihat rakit buluh yang dinaiki rombongan itu untuk memancing.
Pegawai JPAM Daerah, Mohd Yusalmi Yusoff bersama mangsa yang selamat melihat rakit buluh yang dinaiki rombongan itu untuk memancing.
GUA MUSANG  – Seorang mati dan seorang lagi dikhuatiri lemas apabila dihanyutkan arus deras Sungai Aring 10 ketika terjatuh dari rakit buluh yang dinaiki untuk memancing,  malam kelmarin.

Mangsa yang ditemui mati, Mohd Nor Abdul Rahman, 47 berasal dari Taman Sri Medan, Petaling Jaya, Selangor. Mayatnya ditemui kira-kira 3.50 petang semalam, tidak jauh dari tempat kejadian.

Manakala mangsa yang masih hilang, Nasrul Hafiz Shahrudin, 29 berasal Taman Desa Rhu Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian itu berlaku jam 9.20 malam ketika mereka antara 10 ahli Persatuan Bentara Sakti Kuala Lumpur berkelah di Kuala Koh dan menaiki rakit buluh yang dipinjam dari penduduk Orang Asli untuk memancing.
Beliau berkata, selepas perjalanan selama 10 minit, rakit buluh yang dinaiki mereka melanggar batu di tengah sungai berkenaan menyebabkan kesemua terjatuh dan hilang dihanyutkan arus sungai deras itu.

Katanya, Nasrul yang turut hilang apabila cuba menyelamatkan Mohd Nor dan sama-sama dihanyutkan arus deras.

Nasrul masih belum ditemui dan operasi mencari membabitkan polis, anggota Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) masih diteruskan.

“Ketika kejadian itu juga seorang lagi mangsa yang dihanyutkan arus deras dijumpai selamat bergantung pada dahan kayu di tepi berkenaan sebelum diselamatkan anggota penyelamat kira-kira jam 4.45 pagi sebaik menerima aduan itu,” katanya.

Saiful Bahri berkata, rombongan ahli Persatuan Bentara Sakti datang untuk berkelah sambil memancing ikan di sungai berkenaan jam 12 tengah hari kelmarin dan berehat di kawasan sekejap sebelum menemui penduduk Orang Asli bersama rakit buluhnya.

Katanya, mereka meminjam rakit buluh Orang Asli untuk dinaiki beramai-ramai menghala ke arus sungai berkenaan dan tidak menyedari ada batu besar di tengah-tengah sungai itu menyebabkan rakit buluhnya terangkat.

Sementara itu, seorang mangsa yang selamat, Anuar Ali, 36 , berkata, ketika kejadian masing-masing menyelamatkan diri termasuk dirinya yang dihanyutkan arus sungai yang deras itu sehingga ke jarah 30 meter.

“Saya memang tak tahu langsung apa yang berlaku ketika itu kerana turut lemas dan tidak sedarkan diri lima jam sebelum kepala terhantuk di dahan kayu di tepi sungai menyebabkan tersedar di situ dan sempat bergantung di dahan kayu sebelum diselamatkan pasukan penyelamat.

“Memang kami semua ahli Persatuan Bentara Sakti datang bercuti dan berkelah di Sungai Aring 10 sambil untuk memancing ikan dan saya bersyukur kerana selamat, tetapi sedih juga dua ahli kami yang hilang belum ditemui,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu merupakan pengalaman pahit bagi diri setelah berdepan dengan kejadian yang hampir meragut nyawanya sendiri dan akan mengambi iktibar daripada apa yang berlaku itu.