Keadaan kereta Proton Wira yang remuk teruk setelah bertembung dengan treler.
Keadaan kereta Proton Wira yang remuk teruk setelah bertembung dengan treler.
SERI ISKANDAR - Tiga warga emas maut dalam kemalangan di kilometer 27 jalan Teluk Intan-Sitiawan awal malam, kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.50 malam itu melibatkan sebuah sebuah treler dengan sebuah kereta jenis Proton Wira.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, kejadian itu berlaku apabila kereta jenis Proton Wira yang datang dari arah Sitiawan menuju ke Teluk Intan memasuki laluan bertentangan.

Menurutnya, akibat kejadian itu berlaku pertembungan antara kereta Proton Wira dengan lori treler berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

“Pemandu treler berkenaan dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke Bagan Serai dan apabila tiba di tempat kejadian dia melihat pemandu kereta Proton Wira itu memasuki laluannya serta tidak sempat mengelak menyebabkan berlakunya pertembungan antara kedua kenderaan.

“Akibat pertembungan berkenaan menyebabkan kereta Proton Wira itu tersangkut di bahagian treler dan terseret beberapa meter dari tempat kejadian,” katanya.
Katanya, kesemua mangsa di dalam kereta tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

“Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu dan penumpang kereta Proton Wira Wong Sik Onn, 83, Liew Kam Meng, 74, Lee Chor Hun, 71, dan kesemua mereka berasal dari Teluk Intan.

“Manakala seorang lagi penumpang kereta Proton Wira cedera parah. Sementara pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kesemua mayat dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat manakala mangsa cedera parah di bawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, siasatan akan diteruskan untuk mengetahui punca kejadian.