Dalam kejadian pada pukul 1.10 pagi, pemandu lori itu, Kum Chok Wen, 32, maut akibat tersepit pada pintu lori selepas gagal memberhentikan kenderaan­nya di Jalan Jinjang Murni 7, Sentul.
Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Nadzri Hussain berkata, mangsa dikatakan masuk ke dalam lori dan cuba menekan brek selepas ken­deraan itu tiba-tiba bergerak apabila diletakkan di tepi jalan dekat taman perumahan itu.
“Bagaimanapun, mangsa gagal memberhentikan lori berkenaan menyebabkan dia tersepit pada pintu lori itu apabila kenderaan terbabit merempuh sebuah rumah,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, dalam kejadian kedua pada pukul 2 pagi seorang pembonceng motosikal dikenali sebagai Nor Hadayu Kamiridin, 21, maut selepas terjatuh dari motosikal di Jalan Loke Yew menghala ke Jalan Chan Sow Lin.
“Ketika kejadian, dia dikatakan sedang membonceng motosikal yang ditunggang bersama rakannya, Ahmad Asrul Ahmad Jaram, 22, dan mereka dipercayai bergesel dengan kereta Toyota Vios hingga menyebabkan motosikal terbabas ke kiri jalan.
“Mangsa wanita iaitu pembonceng tercampak dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala penunggang hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki kanan,” katanya.
Dalam kejadian ketiga pula, seorang penuntut UTM maut selepas tercampak dari motosikalnya di Jalan Semarak Off Jalan Perumahan Gurney pada pukul 9.15 pagi.
“Mangsa yang datang dari arah Wangsa Maju dikatakan bertembung dengan sebuah kereta Kia Sorento yang membelok ke kanan arah Jalan Persiaran Perumahan Gurney.
“Kemalangan itu berlaku di persimpangan lampu isyarat yang menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal tercampak di bahu sebelah kiri jalan,” katanya.
Kata Mohd Nadzri, ketiga-tiga mayat itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.