MELAKA - Tiga premis termasuk sebuah stor simpanan minyak pelincir musnah dalam kebakaran membabitkan kerugian dianggarkan lebih RM3 juta di Kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malim Jaya, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam itu turut melibatkan tiga premis berhampiran selain 20 kereta, dua van dan sebuah motosikal yang ditempatkan di dua bengkel hangus terbakar.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Sohaimi Mohamed berkata, enam jentera dan tujuh kenderaan utiliti membabitkan 57 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Ayer Keroh, Tangga Batu, Bukit Katil dan Jasin Bistari bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya di lokasi, api marak dan kita mengalami sedikit kesukaran pada peringkat awal untuk memadam kebakaran kerana ia melibatkan bahan mudah bakar minyak,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba terpaksa menggunakan 78 tong buih bagi kerja pemadaman api sebelum kebakaran dapat dikawal kira-kira jam 2 pagi.

“Kita juga terpaksa memecahkan pintu beberapa premis sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 3.25 pagi.

“Setakat ini, kita masih menyiasat punca sebenar kejadian, bagaimanapun dipercayai api bermula dari stor simpanan minyak pelincir sebelum merebak ke dua bengkel bersebelahan dan turut merosakkan premis lain termasuk cermin pecah akibat haba panas,” katanya.

Sementara itu, pemilik stor simpanan minyak pelincir, Lee Jit Sing, 50, menganggarkan kerugian lebih RM1 juta kerana premisnya terbakar keseluruhan.

Jit Sing yang juga pembekal minyak pelincir di Melaka dan Negeri Sembilan turut menempatkan alat ganti motosikal di dalam premis miliknya yang beroperasi sejak 10 tahun lalu itu.

Pemilik bengkel kereta, Tee Goh Thong, 57, pula berkata, dia masih belum dapat memutuskan jumlah kerugian apabila lima buah kereta, dua buah van, masing-masing sebuah motosikal dan foklif  miliknya dan pelanggan musnah.

“Hanya sebuah kereta dan motosikal milik saya, selebihnya adalah kepunyaan pelanggan termasuk sebuah kereta baru sahaja ditukar enjin petang semalam (kelmarin),” katanya.

Tnjauan Sinar Harian  turut mendapati, kira-kira enam unit pejabat dan rumah di bangunan rumah kedai di kawasan berhampiran turut terjejas apabila cermin tingkap pecah dan beberapa dokumen terbakar.

Pemilik sebuah syarikat kontraktor, Azhar Mohd Kassim, 48, berkata, dia yang berada di lokasi melihat bomba melakukan kerja pemadaman api sehingga jam 1.30 pagi tidak menyangka premisnya turut terjejas.

“Saya langsung tidak menyangka sebahagian pejabat saya akan terjejas. Namun pagi ini (semalam) pekerja memaklumkan saya cermin tingkap pecah dan terdapat dokumen yang disimpan di dalam bilik bersebelahan bangunan IKS,” katanya.