Search This Blog

Wednesday, October 15, 2014

Terperangkap setengah jam

Oleh Mary Victoria Dass dan Izlaily Nurul Ain Hussein
ANGGOTA bomba menaikkan mangsa terperangkap di bawah jambatan ketika air meningkat secara mendadak selepas hujan lebat menggunakan tangga.
am@hmetro.com.my
Kulaijaya
Tujuh remaja termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun menempuh detik cemas selepas terperangkap selama setengah jam di bawah jambatan di Jalan Persisiran 36/1, Taman Indahpura, di sini, petang semalam.
Mereka dipercayai sedang memancing ikan di parit berhampiran sebelum lari ke bawah jambatan terbabit untuk berteduh ketika hujan lebat dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu.
Penolong Kanan Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Kulaijaya Mohd Khairi Zainuddin berkata, sembilan anggota dengan kekuatan satu jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik saja menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4 petang.
"Ketika tiba di lokasi, kami mendapati mangsa berada bawah jambatan dan paras air ketika itu mencecah 0.5 meter sehingga ke paras dada mereka sebelum diselamatkan enam minit kemudian.
"Semua mangsa tidak cedera, sebaliknya panik dan kelihatan pucat selepas terperangkap hampir 30 minit dalam air," katanya.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Nor Haikal, 8; Mohd Aqasha Rashid, Fazril Fahmi, Ahsani Taqwin, Mohamad Shahrul Arifin dan Muhamad Nor Fikri semuanya berusia 13 tahun serta Muhammad Azrol Ashrad, 14.
Sementara itu, Komander Operasi Mohd Firdaus Juritah berkata, dua lagi remaja yang bersama-sama mangsa terbabit berjaya menyelamatkan diri lebih awal.
"Kami terpaksa menggunakan tangga, tali dan jaket keselamatan dalam operasi menyelamatkan semua mangsa sebelum menamatkan operasi kira-kira jam 5 petang.
"Mangsa yang berada dalam keadaan trauma, kesejukan dan menggigil itu kemudiannya diberi kaunseling oleh pihak polis dan seterusnya diserahkan kepada ibu bapa masing-masing," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:18 AM See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1975#sthash.Hr6FDyWc.dpuf

No comments:

Post a Comment