Keadaan dua kereta dalam garaj yang terbakar, awal pagi semalam.
Keadaan dua kereta dalam garaj yang terbakar, awal pagi semalam.
KAMUNTING – Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kota Wira, Zulkifli Halim, 54, terpaksa menanggung kerugian hampir RM30,000 selepas sebuah kereta dan garaj miliknya hangus dalam kebakaran, awal pagi semalam.

Zulkifli berkata, kejadian itu hanya disedari apabila terdengar bunyi hon kenderaan.

"Kami bergegas keluar dan terkejut apabila lihat api yang bermula dari bahagian belakang kereta sudah semakin marak.

"Saya dan anak cuba padamkan kebakaran tapi tidak berjaya kerana api marak cepat," katanya.

Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan kereta Proton Saga miliknya diletakkan dalam garaj di seberang jalan depan rumah.

"Garaj itu boleh muat dua kereta dan sebuah kereta Kia Spectra milik jiran yang ditumpangkan di garaj sama turut terbakar,” katanya.

Menurutnya, itu kejadian pertama di kawasan perumahan berkenaan dan siasatan mengenainya diserahkan kepada jabatan bomba.

"Saya tidak mampu berbuat apa-apa, tapi mujurlah kereta berkenaan diletakkan jauh dari rumah.

"Jika tidak mungkin api merebak ke rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penolong Penguasa Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.11 pagi.

"Enam anggota bersama sebuah jentera terbabit dalam operasi berkenaan dan sebaik tiba di lokasi kejadian kita dapati api mara, manakala dua kereta musnah 90 peratus.

"Punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.