Fatin Farhana Nabila (kanan) bersama Akma menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Alor Gajah, kelmarin.
Fatin Farhana Nabila (kanan) bersama Akma menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Alor Gajah, kelmarin.
JASIN - Seorang pelajar sebuah kolej di negeri ini kehilangan sebuah telefon bimbit yang disimpan dalam beg sandang selepas disapa seorang lelaki yang tidak dikenali di sebuah persimpangan lampu isyarat.

Mangsa, Fatin Farhana Nabila Omar, 21, berkata, ketika kejadian, dia menunggang motosikal bersama rakannya dan sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat simpang Ampat Alor Gajah, enjin motosikalnya tidak boleh dihidupkan.

Menurutnya, sejurus selepas itu, seorang lelaki dalam lingkungan 30-an menyapa mereka dan bertanya apa yang berlaku. Dia hanya memberitahu enjin motosikalnya tidak dapat dihidupkan.

"Selepas itu, lelaki berkenaan berlalu pergi selepas mengucapkan terima kasih.

“Sebelum kejadian saya simpan telefon dalam beg yang disandang rakan dan kami sendiri tidak mengesyaki apa-apa lalu meneruskan perjalanan menghala ke Jasin.

“Namun bila tiba di Batang Melaka, saya dapati telefon bimbit tiada dan saya yakin ia ada kaitan dengan lelaki yang menegur kami,” katanya.

Fatin Farhana Nabila berkata, sebelum itu beberapa pengguna dari arah bertentangan ada menunjukkan sesuatu ke arah mereka, namun mereka tidak mempedulikannya.

“Kami nampak mereka tunjuk ke arah kami dan kami ingat mereka mentertawakan kami sebab enjin motosikal tiba-tiba tidak dapat dihidupkan,” katanya.

Katanya, dia berharap individu terbabit dapat memulakan telefon bimbit yang mengandungi banyak maklumat projek akhir mereka termasuk gambar-gambar program.

“Sehingga sekarang saya susah hati dan harap sangat telefon saya dapat dipulangkan semula,” katanya.

Sebarang maklumat boleh menghubungi rakannya, Akma di talian 016-6807839.