TOK BALI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) merekodkan 40 tangkapan dari Januari hingga 11 September lalu merangkumi 18 kes membabitkan nelayan asing Vietnam, enam kes bot kargo dan 17 kes nelayan tempatan.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tok Bali (DM10), Komander Maritim Khoo Teng Chuan berkata, daripada kes tersebut, seramai 203 nelayan Vietnam dihadapkan ke mahkamah.

Sepanjang tempoh tersebut juga katanya, sebanyak 557 pemeriksaan dilakukan ke atas bot yang berada di perairan negara.
“Dari 2009 hingga 2013, tangkapan nelayan tempatan paling tinggi iaitu seramai 227 orang dengan diikuti nelayan Vietnam seramai 103 orang dan nelayan Thailand seramai 25 orang.

“Tangkapan terbesar adalah bot kargo ‘Era Baru’ yang dalam perjalanan ke Songkhla, Thailand bersama muatan kira-kira 100 metrik tan ikan, yang kemudiannya dilelong pada harga RM163,500," katanya.

Menurutnya, kes kedua terbesar adalah penahanan bot nelayan Vietnam bersama tujuh metrik tan sotong siap dikeringkan, kemudiannya dilelong pada harga RM134, 850.

Teng Chuan berkata, DM10 sentiasa menjalankan operasi mengawasi dan memantau sebarang aktiviti menyalahi undang-undang .

“Kita berharap masyarakat terutamanya komuniti nelayan tempatan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan di perairan negara," katanya.