Terbaharu, sindiket dikesan menggunakan komputer riba bagi memudahkan mereka bergerak sekiranya kegiatan tersebut berjaya dihidu pihak berkuasa selain memilih premis usang serta terpencil daripada orang ramai.
Taktik tersebut bagaimanapun terbongkar apabila pihak polis melakukan tiga serbuan berasingan dalam Op Dadu di sekitar bandar raya ini sejak Isnin lalu dan merampas sejumlah 38 komputer riba yang diubah suai menjadi mesin perjudian haram.
Operasi yang bermula pukul 3 petang hingga pukul 3 pagi itu melibatkan tiga premis iaitu di Seberang Jalan Putra, Kebun 500 dan Taman Derga Jaya dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, operasi tersebut dilakukan sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar yang diketuai oleh Inspektor Noor Azman Adnan.
Menurutnya, serbuan itu dibuat hasil maklumat orang awam dan risikan polis sejak seminggu lalu.
“Ketika serbuan, kita menahan seramai tujuh pelanggan dan tiga penjaga premis yang berusia di antara 20 hingga 40 tahun. Turut dirampas tiga peralatan jalur lebar serta wang tunai bernilai RM640.
“Dua daripada tiga premis terbabit masih tidak serik melakukan kegiatan judi haram dan tanpa lesen walaupun pernah diserbu beberapa kali sebelum ini,” katanya ketika di sini, hari ini.
Beliau berkata, kesemua barang rampasan dibawa ke stor simpanan barangan kes bagi tujuan pendakwaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B (A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Bagi menyekat kegiatan judi haram itu, polis akan mengguna pakai Seksyen 21A akta yang sama bagi meminta pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik di premis tersebut,” ujar beliau.