Search This Blog

Thursday, October 2, 2014

Taktik isi ekstasi dalam botol ubat titis mata dibongkar



Rahim Dolmat memberi penjelasan kepada wartawan mengenai penemuan dadah jenis Amphetamime Type Stimulant (ATS) (ekstasi) berbentuk cecair dan serbuk yang menjadi taktik terbaru dalam pasaran dadah di negara ini ketika mengadakan sidang akhbar di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.- BERNAMA
KOTA KINABALU 1 Okt. - Tiada yang luar biasa apabila polis menahan seorang lelaki bersama puluhan ubat titis mata, Ahad lalu. Bagaimanapun siapa sangka botol-botol ubat lutsinar mengandungi cecair berwarna hijau lumut itu adalah sebenarnya ekstasi yang dicairkan.
Malah, penggunaannya semakin mendapat permintaan dalam kalangan pengunjung pusat-pusat hiburan di negeri ini, sejak tiga bulan lalu. Fungsinya untuk meningkatkan 'kekuatan' halusinasi ketika berhibur.
Segala-galanya bermula apabila polis menahan kereta dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dan berasal dari Miri, Sarawak kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Hasil pemeriksaan pada badan dan kereta Perodua Myvi itu, tiada dadah ditemukan.
Polis kemudian menyerbu rumahnya di sebuah kondominium mewah di Tanjung Lipat, Likas, di sini dan menemukan 54 botol berbentuk ubat titis mata mengandungi cecair hijau yang disyaki ekstasi dalam tin biskut di atas siling kediaman berkenaan.
Turut ditemukan 81 peket plastik berisi serbuk dan 168 biji kapsul ekstasi; 1,350 biji pil Eramin 5 serta satu peket plastik lutsinar mengandungi syabu yang kesemua dadah itu bernilai RM111,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Rahim Dolmat berkata, siasatan polis mendapati, cecair yang dicampur ekstasi dan berwarna hijau lumut itu merupakan taktik terbaharu para pengedar dadah untuk diedarkan kepada pengunjung pusat hiburan.
"Bekalan dadah (ubat titis mata) itu juga dipercayai dibawa masuk dari Miri, Sarawak melalui jalan darat dan dijual dengan harga RM100 sebotol.
"Penggunaannya bergantung kepada individu. Ia dititiskan dalam air sebelum diminum," ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Rahim menambah, pihaknya percaya kegiatan pengedaran dadah tersebut dilakukan di sekitar pusat hiburan di Kota Kinabalu dan beberapa daerah berdekatan serta menggunakan kondominium yang disewa itu sebagai premis menyimpan kesemua dadah berkenaan.
Kata beliau, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai rangkaian dengan pengedar dadah dari Sarawak.
"Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan kerana mengedar dadah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141002/je_10/Taktik-isi-ekstasi-dalam-botol-ubat-titis-mata-dibongkar#ixzz3EvxPkak4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment