Sharifah Fauziah (kanan) nyata gembira apabila anak gadisnya pulang selepas dua bulan menghilangkan diri.
Sharifah Fauziah (kanan) nyata gembira apabila anak gadisnya pulang selepas dua bulan menghilangkan diri.
DUNGUN– “Akhirnya dia pulang ke pangkuan kami, syukurlah sebab anak saya selamat.”

Demikian luahan Sharifah Fauziah Syed Mahmood, 34, ibu kepada Nur Athyrah Izaty Noordin, 13, pelajar tingkatan satu yang dilaporkan hilang sejak 7 Ogos lalu.

Misteri kehilangan anak kedua daripada lima beradik itu terjawab selepas dia menghubungi ibunya melalui telefon bagi memaklumkan dia kini berada di rumah ibu angkatnya di Johor Bahru.

Gadis itu yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar memberitahu, dia amat rindukan keluarga dan ingin pulang ke pangkuan ibu serta neneknya, Che Maliah Ismail, 65, selepas hampir dua bulan menghilangkan diri.

Menurut Sharifah Fauziah, sebaik mengetahui lokasi anaknya berada, ibunya (Che Maliah) dengan bantuan seorang adik iparnya bergegas ke Johor bagi mengesan Nur Athyrah Izaty, yang dipercayai tinggal bersama ibu angkatnya, Zaridah Mamat, 42.

Katanya, usaha mengesan Nur Athyrah Izaty berdepan kesukaran kerana gadis itu dikatakan tidak memberikan alamat tepat, bagaimanapun Che Maliah akhirnya menemui cucunya itu selepas dihubungi melalui telefon bimbit.

Selepas dua hari menjejakinya, Nur Athyrah Izaty akhirnya ditemui di sebuah rumah di Taman Desa Rakyat Perdana, Johor Bahru.

“Akhirnya penantian saya selama dua bulan berakhir apabila Athyrah berjaya ditemui. Walau apa yang berlaku, saya bersyukur sebab dia selamat,” katanya.

Sementara itu, kata Nur Athyrah Izaty, dia pergi ke Johor Bahru dengan menaiki bas ekspres pada tarikh dia dilaporkan hilang, menggunakan duit raya dikumpulkannya.

Menurutnya, dia bertolak dari Dungun kira-kira jam 11.30 malam dan tiba di Johor Bahru kira-kira jam 8 pagi sebelum dijemput ibu angkatnya yang sudah dimaklumkan lebih awal.

Katanya, pada awalnya dia mengambil keputusan untuk terus tinggal bersama ibu angkatnya itu yang turut menjalankan perniagaan menjual laksa di rumah, bagaimanapun selepas dua bulan berlalu, dia mula merindui ibu, nenek dan adik-beradiknya yang lain menyebabkan
dia mengambil keputusan untuk pulang.

"Saya memang seronok tinggal dengan ibu angkat, tapi lama-kelamaan saya mula teringatkan keluarga. Saya kemudian telefon mereka beritahu saya masih selamat dan ingin pulang ke pangkuan mereka,” katanya.

Ketika ditanya tujuan sebenar dia melarikan diri daripada keluarga, Nur Athyrah Izaty berkata, tiada sesiapa mengajaknya ke Johor Bahru kerana segala keputusan dibuatnya adalah dengan kerelaan sendiri.

“Tiada sesiapa paksa saya, semua saya buat ikut kehendak sendiri,” katanya.

Sementara itu, pada 7 Ogos lalu, Nur Athyrah Izaty dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat kakaknya, Nur Alyya Farida Noordin, 15, di Taman Poket Arena Square, Dungun.

Justeru, laporan dibuat di Balai Polis Dungun berkaitan kes kehilangan gadis itu sehinggalah dia berjaya ditemui ahli keluarganya di Johor Bahru, kira-kira dua bulan kemudian.