Keadaan air di Sungai Kuala Pueh yang dapat dilihat dari atas jambatan Kampung Kuala Pueh.
Keadaan air di Sungai Kuala Pueh yang dapat dilihat dari atas jambatan Kampung Kuala Pueh.
HULU TERENGGANU - Penduduk kecewa apabila isu pencemaran Sungai Pueh, di sini yang berlarutan sejak 10 tahun lalu tiada penyelesaian biarpun pelbagai aduan dibuat kepada banyak pihak.

Pencemaran berpunca daripada pembuangan sisa minyak dari sebuah kilang itu dipandang sepi oleh pihak pengurusan kilang terbabit biarpun ada dalam kalangan penduduk telah tampil memaklumkan kepada mereka selain turut didedahkan dalam pelbagai media massa sebelum ini termasuk Sinar Harian.

Biarpun penduduk ibarat menanti buah yang tidak gugur untuk melihat semua ini berakhir, namun mereka tetap menaruh harapan agar masalah pencemaran itu segera berakhir sekali gus mengembalikan semula suasana kemeriahan penduduk beriadah di sungai.

Seorang penduduk, Tengku Mustaffa Tengku Ngah, 59, berkata, aktiviti riadah seperti memancing dan mandi-manda yang dahulunya menjadi rutin harian sebahagian penduduk kini lenyap berikutan air sungai telah bertukar menjadi hitam serta berminyak.

“Masalah ini telah lama berlanjutan, belakangan ini pula ia dilihat semakin serius apatah lagi dalam tempoh kurang daripada dua bulan ratusan ikan terapung mati dipercayai akibat pencemaran. Tidak pasti sampai bila semua ini akan terus terjadi.

“Kalau dulu, Sungai Kuala Pueh ini dikatakan lubuk bagi kaki pancing kerana adanya pelbagai spesies ikan seperti lampan; seluang; perah termasuk udang galah, tetapi kini semuanya sekadar tinggal kenangan.

"Bukan setakat ikan, biawak pun tak boleh hidup dalam sungai tercemar begini,” katanya.

Kata Tengku Mustaffa, pencemaran ini amat merugikan generasi akan datang kerana sungai adalah khazanah berharga.

“Saya amat berharap agar masalah ini dapat berakhir juga,” katanya.


Mohon tindakan segera

Seorang lagi penduduk, Tengku Zahri Tengku Awang, 52, berkata, dia berharap agar pihak berkaitan dapat mengambil langkah segera bagi memulihkan sungai tersebut.

“Pembuangan sisa minyak ke sungai ini telah banyak pupuskan hidupan selain menyebabkan penduduk tidak lagi boleh memancing dan mandi-manda. Jika dahulu kesan air hitam dan berminyak sering dilihat ketika hujung minggu, tetapi kini tidak menentu.

“Saya difahamkan, apabila tempat takungan di kilang itu penuh, sisa tersebut akan dilepaskan dan mahu atau tidak sungailah menjadi sasaran. Kesannya, sungai dicemari dengan minyak hingga menyebabkan air bertukar hitam,” katanya.


JAS telah buat siasatan

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Roshadah Hashim ketika diminta mengulas permasalahan tersebut berkata, pihaknya sudah sedia maklum dan berdasarkan aduan telahpun ke lokasi membuat siasatan bersama Jabatan Perikanan negeri.

“Pihak kami memerlukan bukti secukupnya sebelum satu-satu tindakan diambil dan tidak boleh membuat sebarang tohmahan melulu kepada mana-mana pihak yang menyebabkan berlakunya pencemaran.

“Berdasarkan aduan yang mengatakan banyak ikan mati di sungai berkenaan, JAS juga telahpun ke lokasi bersama Jabatan Perikanan yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan bagi menjalankan siasatan,” katanya.

Katanya, penduduk yang mengetahui aktiviti boleh menyebabkan pencemaran diminta menghubungi JAS dengan segera berikutan penyaluran maklumat awal membolehkan pihaknya ke lokasi untuk mendapatkan bukti.

Beliau berkata, sebagai contoh sekiranya berlaku tumpahan minyak dan pihaknya dimaklumkan dengan segera maka JAS dapat mengumpul bukti yang kukuh untuk sebarang tindakan susulan.