Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 5.05 petang dan mangsa, Lee Chee Mian, 48, dari Taman Skudai Baru, di sini, meninggal dunia sejurus tiba di sebuah poliklinik berdekatan.
“Difahamkan Lee pergi ke flat berkenaan pada kira-kira pukul 1.30 petang untuk bertemu dua pekerjanya yang menyewa di situ kerana kedua-dua pekerja terbabit tidak hadir bekerja di sebelah petang dan hanya bekerja setengah hari.
Telah berlaku pertengkaran di luar rumah antara Lee dan kedua-dua pekerja rakyat Vietnam itu sehingga menyebabkan Lee ditikam menggunakan senjata tajam di bahagian rusuk kanan,” katanya di sini hari ini.
Sulaiman berkata, Lee kemu­dian pergi ke sebuah poliklinik yang terletak kira-kira 500 meter dari flat itu, namun dia rebah di kerusi klinik itu lalu disahkan meninggal dunia.
Beliau berkata, polis setakat ini mempercayai motif kejadian adalah mengenai soal kerja dan isu gaji antara Lee dan kedua-dua pekerja berkenaan.
Katanya, mayat Lee dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, dan bedah siasat yang dilakukan mendapati punca kematiannya di­sebabkan tiga tikaman menggunakan benda tajam yang menembusi jantungnya.
“Sehubungan kejadian itu, polis kini menahan lima lelaki rakyat Vietnam yang kesemuanya pekerja Lee bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh,” katanya. - BERNAMA