Search This Blog

Saturday, October 4, 2014

Suap RM1,000


Oleh Nor Azura Abdul Jalil
Kuala Lumpur: Seorang lagi pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas pertuduhan menerima wang RM1,000 tanpa balasan, Mei lalu.

Turut didakwa di mahkamah berasingan seorang ahli perniagaan yang didakwa terhadap tiga pertuduhan bersubahat dengan pegawai kanan kastam bagi membenarkan akaunnya digunakan untuk menerima wang rasuah.



Penguasa Kastam R Thevakumar, 38, dan Ooi Geim Leong, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, Thevakumar yang bertugas di Bahagian Import dan Eksport Cawangan Pelabuhan Selatan KDRM Bagan Dalam, Pulau Pinang didakwa menerima tanpa balasan wang RM1,000 melalui akaunnya daripada seorang individu yang mempunyai urusan dengan jabatan itu.


Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Berhad, Jalan Manis Enam, Taman Segar, Cheras, di sini, jam 3.55 petang, 14 Mei lalu.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Sementara itu, Ooi yang mempunyai perniagaan gudang didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Som Chit a/l Tiang dengan membenarkan akaunnya digunakan untuk menerima wang rasuah berjumlah RM10,000.

Som Chit yang sudah dituduh dengan empat pertuduhan Isnin lalu didakwa menerima wang berkenaan dari seorang individu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu lain atas kesalahan membabitkan arak yang tidak dibayar cukai kastam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

No comments:

Post a Comment