Search This Blog

Wednesday, October 22, 2014

Suami isteri mengaku milik barang larangan


Oleh Shamsul Munir Safini
Kangar: Empat individu termasuk sepasang suami isteri mengaku bersalah di atas tiga pertuduhan berasingan memiliki barangan larangan import (rokok putih dan kretek) bernilai RM563 di Mahkamah Majistret Kangar, di sini, tadi.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh pertama Ooi Cheng San, 50, serta tiga individu lain mengaku bersalah di atas pertuduhan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 .
Tertuduh didakwa memiliki sejumlah rokok putih dan kretek yang belum diluluskan Kastam bernilai RM445.36 di premis kedai runcit miliknya di Kuala Perlis di sini pada 28 November tahun lalu.
Majistret Norhayati Ibrahim kemudian menetapkan denda RM6,000 atau 12 bulan penjara terhadap tertuduh.
Tertuduh kedua Ahmad Said, 65, mengaku bersalah memiliki rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang belum diluluskan Kastam bernilai RM16.12.
Ahmad didakwa memiliki barangan larangam berkenaan ketika diperiksa penguatkuasa Kastam di kedai runcitnya di Jejawi 25 Jun lalu.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM200 atau sebulan penjara selepas mendengar pengakuan tertuduh.
Manakala tertuduh ketiga Lim Ah Kian,40 dan isteri Carin Kiang,36, mengaku bersalah di atas pertuduhan memiliki rokok putih dan kretek belum lulus Kastam bernilai RM102.97 di premisnya di Jalan Panggas,Chuping, Padang Besar di sini 7 Mac lalu.
Pasangan tertuduh melalui peguamnya daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Norherdawati Harun merayu hukuman dnda tertuduh dikurangkan.
Norhayati kemudian menetapkan denda RM1,400 terhadap setiap seorang atau enam bulan penjara.
Pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pedakwaraya Kastam Diraja Malaysia Abdul Malik Awang Kechik @ Ramli.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 tertuduh boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barangan dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atu kedua-duanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 4:31 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3312#sthash.di6MYfA3.dpuf

No comments:

Post a Comment