Search This Blog

Wednesday, October 22, 2014

Seorang maut, dua cedera kemalangan


21 Oktober 2014

IPOH - Seorang lelaki maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 203.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, dekat Taiping, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 6.09 pagi, Salim Sariboo, 43, pemandu lori yang membawa muatan ayam meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, kejadian itu berlaku apabila lori berkenaan melanggar bahagian belakang sebuah lori yang sarat dengan muatan kelapa sawit.

Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Bidor meninggal dunia dan ditemui tersepit di tempat duduk pemandu sementara pemandu lori kelapa sawit, Mohd Nasir Chek Wan, 38, tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Berikutan kemalangan itu, berlaku satu lagi pelanggaran melibatkan kenderaan jenis Proton Iswara dan Nissan Teana akibat terlanggar tandan kelapa sawit yang jatuh daripada lori berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Mastura Zainal, 53, yang memandu Proton Iswara tidak mengalami kecederaan tetapi anaknya Mohamad Firdaus Idris, 22, dan pemandu Nissan Teana S Gopinaath, 23, mengalami cedera ringan.

Beliau berkata kenderaan yang dipandu Gopinaath melanggar tandan kelapa sawit sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

"Wan Mastura yang datang dari arah yang sama kemudian melanggar kereta yang dipandu Gopinaath. Kesemua kenderaan dalam perjalanan dari arah Butterworth ke
Ipoh," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital yang sama. - Bernama

No comments:

Post a Comment