Search This Blog

Friday, October 3, 2014

Selamat dikebumi


Oleh Azma Razana Johari
Butterworth: Pengebumian jenazah mangsa bunuh dan bakar, Rohani Hashim, 30, berjalan lancar di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Teluk Air Tawar, di sini, jam 5.30 petang, semalam.

Walaupun masih terkejut dengan kejadian itu, keluarga dan sanak saudara yang mengiringi jenazah mangsa ke tanah perkuburan kelihatan tenang.

Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, mereka terkejut apabila dimaklumkan wanita berkenaan dibunuh sebelum mayatnya dibakar.

“Kami semua tidak menduga mangsa diperlakukan sedemikian.



Sebelum ini saya hanya membaca cerita orang dibunuh dan dibakar, tetapi tidak sangka kali ini terjadi kepada ahli keluarga sendiri.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya bulan lalu ketika menghadiri kenduri kahwin saudara,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui perkara itu selepas dihubungi kakak kandung mangsa, pagi semalam sebelum membaca laporan akhbar.

Katanya, mangsa masih bersuami dan mempunyai dua anak berusia dua dan lima tahun.

“Dia juga mengusahakan kedai runcit di Penaga bersama suaminya selepas berhenti kerja di sebuah kilang.

“Apa yang saya tahu mangsa ada menguruskan kedai runcit itu bersama suaminya dan mereka tinggal di rumah keluarga mentuanya,” katanya.

Terdahulu, jenazah mangsa dituntut di Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya sebelum dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kampung Setol, di sini, jam 4.30 petang, semalam.

Jenazah kemudian disembahyangkan di Masjid Jamek Teluk Air Tawar sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam yang terletak bersebelahan.

Usaha untuk menemubual suami dan saudara terdekat mangsa gagal berikutan mereka sedih dan terkejut dengan pembunuhan kejam itu.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa dibunuh sebelum mayatnya dibakar oleh seorang kenalan lelakinya di Kampung Tok Keramat, Juru yang kemudian ditemui keesokkan harinya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

No comments:

Post a Comment