Search This Blog

Wednesday, October 15, 2014

Sekumpulan kanak-kanak selamat selepas terperangkap ketika memancing



ANGGOTA Bomba menyelamatkan tujuh kanak-kanak yang menempuh detik cemas apabila terperangkap kira-kira sejam dalam hujan ketika memancing di tebing parit bawah sebuah jambatan selepas paras air di parit berkenaan meningkat mendadak di Indahpura,Kulaijaya, petang tadi. - Foto Ihsan Bomba
KULAIJAYA: Sekumpulan kanak-kanak menempuh detik cemas kira-kira sejam apabila terperangkap ketika memancing di tebing parit bawah sebuah jambatan akibat air melimpah di Indahpura, di sini petang tadi.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, semua mereka yang berusia antara lapan hingga 14 tahun itu berjaya diselamatkan pihak bomba.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kulai, Mohd Firdaus Juritah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 4 petang sebelum tiba di lokasi 10 minit kemudian.
"Sebuah jentera bersama sembilan pegawai operasi dan anggota bergegas ke lokasi dan operasi menyelamat berjalan lancar tanpa sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
"Semua kanak-kanak yang berteduh ketika hujan di bawah jambatan sebelum terperangkap berikutan paras air yang naik mendadak itu berjaya diselamatkan dan operasi ditamatkan pada jam 4.55 petang," katanya.
Semua mangsa itu hanya dikenali sebagai Mohd Nor Haikal, 8; Mohd Aqasha Rashid, Fazril Fahmi, Ahsani Taqwin, Mohamad Shahrul Arifin dan Muhamad Nor Fikri yang berusia 13 tahun serta Muhammad Azrol Ashrad, 14.

No comments:

Post a Comment