BANDARAYA MELAKA - “Saya tidak pernah menaruh sebarang  perasaan syak kepada dia serta percaya dia boleh menjaga anak saya dengan baik.”

Bagaimanapun, kejadian di mana anak perempuannya yang berusia 10 bulan melecur teruk pada bahagian punggung kini  membuatkan Zaris Othman. 28, serik hendak menghantar anak kecil itu ke pengasuh.

Mengimbas kembali kejadian berkenaan, Zaris berkata, kejadian yang menimpa Nurawliya Medina Mohd Aswad hanya disedari bapa mertuanya apabila kanak-kanak berkenaan asyik meraung apabila didukung datuknya, lebih-lebih lagi ketika tangan datuknya tersentuh bahagian punggungnya.

Menurutnya, ekoran penemuan itu, dia dan suami membawa anak berkenaan ke Hospital Melaka, di mana doktor yang memeriksa bayi berkenaan menasihatkan mereka membuat laporan polis.

“Saya dan suami tergamam apabila dimaklumkan doktor terdapat kecederaan melecur teruk pada punggung anak saya.

“Saya tidak menyangka kerana selama ini saya percaya dia boleh menjaga anak saya, lebih-lebih lagi kerana kami tinggal berjiran,” katanya ketika menerima kunjungan Adun Paya Rumput, Sazali Muhd Din, di kediamannya di Taman Bertam Hulu di sini semalam.

Dalam lawatan berkenaan, yang turut disertai Ketua Wanita Umno Bahagian Tangga Batu, Datuk Noradibah Abdullah serta Pegawai Khas Ketua Menteri, Mohd Nizam Dawood, Sazali turut menyampaikan sumbangan dan bantuan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, kepada keluarga berkenaan.

Susulan laporan polis yang dibuat, seorang wanita ditahan polis untuk membantu siasatan sebelum dia dibebaskan dengan jaminan.

Sementara itu, Sazali menggesa supaya polis menyiasat secara menyeluruh ke atas kejadian berkenaan supaya tindakan tegas boleh diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Menurutnya, polis juga diharap dapat memaklumkan hasil siasatan kepada keluarga terbabit memandangkan mereka kini dalam trauma akibat kejadian berkenaan.