KUALA TERENGGANU - “Saya rasa seperti mati hidup semula selepas mengetahui bukan rumah saya yang terbakar kerana ketika itu, saya amat risaukan keadaan makcik yang tinggal berseorangan di rumah,” kata Saharizai Ahmad Firdaus Kamarudin, 18, ketika bercerita mengenai kejadian kebakaran di Kampung Tanjung, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.58 petang itu, rumah kosong yang terletak hanya kira-kira 10 meter jarak dari rumah yang disewa oleh remaja tersebut bersama ibu saudaranya sejak lima tahun lalu itu musnah sama sekali.

Menceritakan detik cemas itu, Saharizai berkata, semasa kejadian, dia berada di tempat kerja di sebuah pasar raya berhampiran rumah sewanya sebelum menerima panggilan telefon daripada rakan memaklumkan ada kebakaran di kawasan rumahnya.

“Sejurus itu, saya terus bergegas keluar sebelum ternampak kepulan asap yang begitu tebal dari arah rumah. Ketika itu saya memang ingatkan rumah saya yang terbakar.

“Saya terus berlari kerana ingin menyelamatkan makcik yang ketika itu saya sangkakan berada di rumah. Namun setibanya di lokasi, saya dimaklumkan rumah kosong berhampiran yang terbakar, bukannya rumah saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Saharizai berkata, dia bukan sahaja lega apabila mengetahui rumahnya terselamat, malah dalam masa sama turut bersyukur kerana semasa kejadian, makciknya, Junaidah Ismail, 40-an, masih berada di tempat kerja.

“Selepas mengetahui bukan rumah saya yang terbakar, saya terus menelefon makcik dan dia memaklumkan masih berada di tempat kerjanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota, di sini, Azmi Salleh berkata, seramai 20 anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira jam 3 58 petang.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, api sedang marak membakar keseluruhan rumah jenis sementara itu sebelum api berjaya dikawal beberapa minit kemudian.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. Buat masa ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.