Search This Blog

Saturday, October 4, 2014

Rogol: Remaja diperintah ke Sekolah Henry Gurney


RASAH 3 Okt. - Seorang remaja lelaki hari ini diperintah oleh Mahkamah Sesyen Seremban di sini supaya ditahan di Sekolah Henry Gurney atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur yang baru dikenalinya selama 10 hari, hujung tahun lalu.
Lim Chee Soon, 19, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh selepas tertuduh mengaku memperkosa mangsa yang berusia 15 tahun di sebuah rumah di Ulu Beranang, Lenggeng dekat sini pada pukul 2 petang, 10 September tahun lalu.
Tertuduh yang hadir berkerusi roda akibat kemalangan April lalu, didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Abu Hassan Ramli manakala tertuduh diwakili peguam A. Vasudevan.
Menurut laporan sosial yang dibacakan di hadapan hakim, tertuduh merupakan anak bongsu daripada dua beradik malah fakta kes menunjukkan mangsa berkenalan dengan tertuduh selama lebih kurang 10 hari sebelum kejadian tersebut berlaku di rumah mangsa.
Laporan itu turut menyebut tertuduh hanya bersekolah sehingga tingkatan tiga dan dia bekerja secara sambilan di bengkel motosikal dan sebagai buruh binaan. Perbuatan terbabit merupakan kesalahan pertamanya.
Selepas membuat penelitian, Jagjit mengarahkan tertuduh dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney sehingga mencapai usia 21 tahun.
Che Soon, mengalirkan air mata sebaik sahaja hukuman dijatuhkan ke atasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20141004/ma_04/Rogol-Remaja-diperintah-ke-Sekolah-Henry-Gurney#ixzz3F7dEqvg3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment