Sharuddin (tengah) menunjukkan CD dan VCD yang berjaya dirampas dalam satu serbuan di sebuah pasaraya di sini semalam.
Sharuddin (tengah) menunjukkan CD dan VCD yang berjaya dirampas dalam satu serbuan di sebuah pasaraya di sini semalam.
KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang, merampas 2,905 unit cakera optik jenis CD dan VCD dalam satu serbuan yang dilakukan di sebuah pusat membeli belah daerah ini semalam.

Pengarah KPDNKK , Sharuddin Jali berkata, rampasan yang bernilai RM14,525 itu  melibatkan CD dan VCD pelbagai tajuk yang melibatkan dua buah premis berasingan di pusat membeli belah tersebut.

Menurutnya, penjualan CD dan VCD tersebut dijual  lebih murah seperti yang terdapat di pasar malam dengan harga RM5 hingga RM8 sekeping.

“Premis tersebut didapati melakukan kesalahan Perintah Perihal Dagangan (Label  Cakera Optik) 2010, iaitu membekal atau menawarkan membekal cakera optik tanpa label cakera optik.

“Pengusaha premis boleh dikenakan denda bagi kesalahan pertama yang tidak melebihi  RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua pula, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000  atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu beliau menjelaskan untuk tempoh Januari hingga 13 Oktober 2014, nilai rampasan mencecah RM890,661.57 yang membabitkan 536 kes dengan
kutipan kompaun sebanyak RM73,250.

Menurutnya, tiada penahan Orang Kena Tahan (OKT), bagaimanapun sudah  mengenal pasti kawasan ‘panas’ yang berada di daerah ini untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak kami mempunyai indek pencapaian utama (KPI) untuk disasarkan dengan mengadakan pemantauan seterusnya mengambil tindakan.

“Sehingga kini, lebih kurang 69 kes yang akan didakwa bagi dikenakan tindakan denda  ataupun kompaun,” katanya.