Search This Blog

Thursday, October 2, 2014

Pukat: Jabatan Perikanan tahan 4 bot nelayan

KHAMIS, 2 OKTOBER 2014 @ 4:03 PM

 
PASIR PUTEH: Jabatan Perikanan Kelantan menahan empat bot laut dalam kerana menggunakan saiz mata pukat keroncong tunda kurang daripada 38 milimeter yang boleh menyebabkan kepupusan ikan dalam tempoh terdekat.

Pengarahnya, Mohd Zin Saad, berkata penahanan itu dilakukan dalam "Operasi Periksa" yang disertai lima pegawai Unit Pengurusan Sumber jabatan itu yang diketuai Ketua Pengkalan Utama, Suhaimi Ali di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Tok Bali, semalam.

"Bot berkenaan yang semuanya bernilai lebih RM4 juta ditahan di Pelabuhan LKIM Tok Bali bagi pemeriksaan lanjut," katanya kepada pemberita di pejabat Jabatan Perikanan Tok Bali di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi itu sebanyak 17 bot, terutama bot Vietnam yang menggunakan lesen rakyat tempatan, diperiksa ketika cuba mendaratkan ikan di pelabuhan itu.



Katanya, turut ditahan lebih 40 nelayan Vietnam yang berumur antara 18 hingga 60 tahun bagi tujuan pemeriksaan.

Mohd Zin berkata, pemilik bot itu akan didakwa di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan saiz mata pukat keroncong yang tidak dibenarkan.

Katanya, akta itu mula dikuatkuasakan pada 1 November tahun lepas dan jika gagal mematuhinya, lesen bot dan alat penangkapan ikan akan digantung atau dibatalkan selaras dengan Akta Perikanan 1985.

Beliau berkata, penguatkuasaan akta itu mengambil kira senario perkembangan dalam pengurusan sektor perikanan global yang cenderung kepada tadbir urus penangkapan ikan yang tidak destruktif dan status sumber perikanan negara yang semakin merosot.

"Tindakan itu juga diambil berikutan pelbagai aduan yang diterima daripada nelayan tempatan terutama nelayan tradisional apabila hasil tangkapan mereka kini semakin berkurangan," katanya.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment