Paramasivam (dua, kanan) menunjukkan rampasan yang dilakukan JSJN Perak di sebuah makmal mini dadah, Ahad lalu.
Paramasivam (dua, kanan) menunjukkan rampasan yang dilakukan JSJN Perak di sebuah makmal mini dadah, Ahad lalu.
IPOH - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak barjaya membongkar makmal mini dadah yang berselindung di sebalik perkhidmatan katering dalam serbuan yang dilakukan di sebuah banglo di Lim Garden, di sini, Ahad lalu.
Dalam serbuan jam 10.30 pagi itu, polis telah merampas dadah jenis methamphetamine dalam bentuk cecair dan kristal seberat 32.9 kilogram yang bernilai hampir RM2.8 juta.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam berkata, jumlah dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 32,000 orang penagih dan anggaran harga pasaran bagi satu kilogram dadah bernilai RM90,000.
Menurutnya, ketika serbuan dilakukan tiada penghuni di rumah namun pihaknya menemui sebuah makmal mini yang digunakan untuk memproses dadah dan dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati, perkhidmatan katering itu telah dijalankan di banglo tersebut sejak dua tahun lalu dan pihaknya ada menemui perkakasan dapur yang digunakan untuk perniagaan tersebut.
“Sejurus selepas serbuan dilakukan, pada jam 12.40 tengah hari, kita telah menahan seorang lelaki berusia 42 tahun dipercayai pemilik tunggal perkhidmatan katering itu.
“Manakala, seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan dipercayai pekerja katering turut ditahan kira-kira empat jam kemudian berhampiran Lim Garden.
“Kedua-dua lelaki terbabit bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing yang dijalankan ke atas mereka adalah negatif,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, semalam.
Hadir sama, Ketua JSJN Perak, Asisten Komisioner Yap Toon Khuan. Dalam perkembangan sama, beliau berkata, polis turut menyita beberapa harta milik suspek antaranya van, motosikal, jam tangan, telefon bimbit, rantai dan cincin emas serta wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM35,200.
Katanya, sitaan itu dilakukan mengikut Seksyen 4 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.
“Sehubungan itu, kedua-dua suspek terbabit ditahan reman selama seminggu sehingga 19 Oktober ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya