Search This Blog

Wednesday, October 15, 2014

Polis, tentera ditahan suspek bunuh wartawan di Kemboja


Polis, tentera ditahan suspek bunuh wartawan di Kemboja
Wartawan yang dibunuh sedang menyiasat laporan bahawa kereta lembu digunakan untuk membawa keluar kayu balak. - Gambar hiasan
PHNOM PENH: Dua pegawai polis dan seorang anggota tentera Kemboja ditahan pada Isnin berhubung kematian seorang wartawan yang menyiasat isu pembalakan haram, laporThe Cambodia Daily.

Mayat Taing Try, 47, ditemui pada Ahad dengan kesan tembakan di kepalanya di wilayah Kratie di timur laut negara itu.

Mendiang sedang menyiasat laporan bahawa kereta lembu digunakan untuk membawa keluar kayu balak ke sebuah gudang pada waktu malam.

Gudang itu dimiliki oleh ketua polis tentera di kawasan tersebut, lapor akhbar itu.

Sebuah kenderaan SUV tanpa nombor pendaftaran ditemui dalam keadaan terbalik dekat tempat kejadian yang kemudian dikaitkan dengan seorang pegawai polis, seorang pegawai polis tentera dan seorang tentera dari Angkatan Tentera Di-Raja Kemboja.

Try sebelum itu menaiki sebuah kereta jenis Toyota Camry bersama seorang wartawan lain. Wartawan itu berjalan kaki ke sebuah ladang berdekatan selepas kereta yang mereka naiki tersangkut. Dia yang datang dengan bantuan kemudian mendapati Try sudah meninggal dunia.

"Pembunuhan kejam ini sekali lagi menunjukkan betapa bahayanya Kemboja untuk wartawan terutamanya kepada mereka yang menyiasat salah laku berhubung tanah dan hutan di negara itu," kata timbalan pengarah Human Rights Watch Asia, Phil Robertson seperti dipetik olehThe Cambodia Daily.

Sejak 1993, 10 orang wartawan telah dibunuh di Kemboja.

Hang Serei Oudom, seorang wartawan yang menyiasat pembalakan haram di wilayah Rattankiri dibunuh pada 2012. Pada tahun itu juga, aktivis alam sekitar, Chut Wutty dibunuh semasa bersama dua wartawan Cambodia Daily di wilayah Koh Kong.

Tiga lelaki ditahan yang ditahan itu mengaku atas jenayah itu dan akan dibicarakan, lapor akhbar itu.

No comments:

Post a Comment