Search This Blog

Wednesday, October 22, 2014

Polis siasat dakwaan penculikan pelajar di Keningau

RABU, 22 OKTOBER 2014 @ 4:43 PM

  
KOTA KINABALU: Polis Sabah menyiasat laporan insiden penculikan palsu yang membabitkan pelajar sekolah di negeri ini seperti yang disebarkan melalui medium sosial termasuk aplikasi WhatsApp.

Difahamkan penyebaran khabar angin melalui aplikasi WhatsApp di Keningau itu bermula sejak 18 Oktober yang mendakwa empat pelajar sekolah menengah dan tiga murid sekolah rendah diculik oleh sekumpulan individu, sebelum dibebaskan tanpa syarat.

Selain itu, sekeping foto yang menunjukkan lapan pelajar wanita berpakaian seragam sekolah sedang berdiri dengan tujuh daripadanya adalah wanita berusia, turut disebarkan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata pihaknya bertindak membuka kertas siasatan dan menjalankan gerakan mengesan individu yang bertanggungjawab menyebarkan perkara tersebut.



"Kenyataan yang tersebar menerusi WhatsApp ini mampu mendatangkan kegusaran kepada masyarakat apatah lagi ia tidak pernah terjadi dan palsu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati setakat ini tiada laporan polis berkenaan kes penculikan dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kegusaran kepada orang awam yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Katanya, orang ramai dinasihat agar lebih bertanggungjawab dalam menghebahkan sebarang maklumat terutama berkaitan isu keselamatan yang mampu menggugat ketenteraman awam.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment