Search This Blog

Saturday, October 4, 2014

Polis pantau transaksi besar, mencurigakan


KUALA LUMPUR 3 Okt. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini bekerjasama erat dengan Bank Negara dan menempatkan pegawai-pegawainya di bank-bank tempatan untuk mengesan rekod dan transaksi pemindahan wang yang mencurigakan ke luar negara.
Langkah itu bagi mengesan pemindahan wang yang mungkin dilakukan kumpulan sindiket warga dari Amerika Latin setelah menggodam 18 mesin pengeluaran wang automatik (ATM) baru-baru ini, mengakibatkan kerugian RM3.1 juta.
Difahamkan, siasatan polis setakat ini yakin suspek akan menggunakan sistem kewangan dalam negara untuk menyeludup keluar wang hasil kegiatan jenayah tersebut.
Sumber mendedahkan, penempatan pegawai polis itu adalah untuk memantau transaksi mencurigakan yang melibatkan jumlah besar di mana-mana rangkaian broker atau pengurup wang di dalam negara.
Kata sumber, lima pengurup wang ditahan semalam adalah disebabkan polis mengesan beberapa transaksi melibatkan jumlah wang yang besar ke luar negara.
“Polis kini bekerjasama dengan bank tempatan dan Bank Negara untuk memantau sebarang transaksi mencurigakan dan dalam kes penahanan lima pengurup wang semalam, itu adalah sebahagian langkah untuk mengesan tindak-tanduk suspek.
“Kita mengesan terdapat pindahan wang dalam jumlah besar yang menyebabkan polis menyerbu rumah serta lima premis pengurup wang terbabit untuk siasatan lanjut. Jumlah pemindahan wang dilakukan pengurup-pengurup wang itu bagaimanapun tidak mencecah satu juta ringgit," katanya.
Sumber turut mendedahkan, kumpulan suspek itu dipercayai masih berada di dalam negara disebabkan sukar untuk membawa wang dengan jumlah yang besar.
“Mereka tidak akan keluar dari Malaysia selagi wang yang dicuri itu tidak dipindahkan ke luar negara. Malah kita akan dapat mengesan suspek jika mereka keluar dengan membawa jumlah wang yang banyak," katanya.
Dalam pada itu, turut difahamkan, proses penghantaran wang ke luar negara perlu melalui bank atau pengurup wang yang diberi lesen sahaja dengan rekod dan transaksi dipantau oleh Bank Negara.
Bagaimanapun, proses itu dikatakan mempunyai kelemahan kerana tiada jumlah dan jadual khusus yang ditetapkan malah boleh dilakukan tanpa bukti di atas kertas.
Di Malaysia, kebanyakan yang menggunakan sistem pemindahan wang itu adalah warga asing yang menetap atau bekerja di sini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mortadza Nazarene menjelaskan, mereka masih berusaha menyiasat petunjuk yang ada.
“Beberapa pengurup wang yang ditahan dan diambil keterangan semalam, saya sahkan tiada kena-mengena dengan kes ini," katanya


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141004/je_07/Polis-pantau-transaksi-besar-mencurigakan#ixzz3F7b2t76M
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment