Mohamad Yasir suspek kes samun dan curi kenderaan.
Mohamad Yasir suspek kes samun dan curi kenderaan.
GOMBAK – Polis Gombak kini memburu saki-baki Geng Topeng selepas tertangkapnya dua penjenayah dalam kumpulan terbabit.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, kumpulan terbabit diketuai lelaki berusia 25 tahun dikenali sebagai Poru aktif menjalankan kegiatan samun dan curi kenderaan di sekitar Rawang sejak awal tahun ini.

“Turut ditahan abangnya berusia 27 tahun. Kami juga sedang memburu seorang lagi suspek Mohamad Yasir Ismail, 30 tahun.

“Mereka terbabit dalam 20 kes samun dan curi kenderaan yang melibatkan kerugian mencecah hampir RM200,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, semalam.

Menurut Ali, selain tangkapan, turut dirampas lima bilah parang, tiga kenderaan curi jenis Honda Civic, Toyota Vios dan Isuzu Dmax serta telefon bimbit milik mangsa.

“Kami percayai kenderaan yang dicuri dihantar dan dijual ke kawasan di bahagian utara Semenanjung,” katanya.

Katanya, Poru yang memiliki lima rekod jenayah lampau, pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat pada 2010 selama dua tahun.

Dalam perkembangan berasingan, Polis Gombak berjaya menumpaskan Geng Ayed yang terlibat dengan 41 kes samun dan curi motosikal di sekitar Jalan Gombak dan Kepong.

“Keempat-empat suspek berusia antara 16 hingga 20 tahun. “Tangkapan kesemua suspek membawa kepada penemuan 12 rangka motosikal curi. Enam daripadanya mempunyai rekod kenderaan curi. Selebihnya tidak dapat dikesan ekoran nombor casis telah diganggu,” katanya.