Search This Blog

Monday, October 20, 2014

Persiapan perkahwinan hangus


WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Oktober 2014

 Keadaan rumah Rosnani yang musnah dalam kebakaran, semalam.
Keadaan rumah Rosnani yang musnah dalam kebakaran, semalam.

LEDANG - Seorang pengusaha kuih tradisional mengalami kerugian kira-kira RM160,000 apabila rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Sagil Parit 3 dekat Sagil, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi itu, Rosnani Leman, 55, yang tinggal dengan suaminya, Nohd Dom Abd kadir, 64, di rumah itu menyedari kejadian tersebut selepas terdengar bunyi letupan kuat dari bahagian dapur.

Menurutnya, ketika kejadian dia dibantu suami yang sedang sibuk menyiapkan pelbagai jenis kuih untuk dihantar ke Kolej Matrikulasi Johor terus berlari menyelamatkan diri.

“Saya cemas, hanya fikir selamatkan diri dan suami yang tak sihat sebab sakit kencing manis.

“Banyak dokumen penting tak sempat diselamatkan bila api marak. Kad pengenalan ini pun selamat dengan bantuan bomba,” katanya.

Ibu empat anak itu berkata, tambah sedih apabila segala persiapan perkahwinan anak bongsu yang akan berlangsung 23 November ini turut musnah.

Anak sulung Rosanani, Norhapizah Khairani, 38, berkata, dia mengetahui kejadian tersebut selepas menerima panggilan ibunya, kira-kira jam 6 pagi dalam keadaan menangis memaklumkan rumah terbakar.

“Saya tak sangka sampai hangus keseluruhan rumah. Biasanya tiap hujung minggu saya balik rumah ibu, cuma minggu ini tak dapat sebab ada urusan.

“Walaupun sedih rumah ibu yang baru dibina lima tahun lalu musnah, syukur ibu dan bapa tak cedera,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Malley Salim berkata, seramai enam anggota bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 6.04 pagi.

“Semasa tiba di lokasi, api sedang marak membakar keseluruhan rumah dan kita mengambil masa 30 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran.

“Kita tidak menghadapi sebarang masalah dalam operasi kerana mendapat bekalan air mencukupi, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Insiden menimpa Rosnanin mendapat perhatian Pejabat Baitulmal Daerah Ledang yang menghulurkan sumbangan wang tunai RM2,000 yang disampaikan Kadi Daerah Ledang, Mohd Zaini Mohd Saleh.

Turut membantu, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Ledang yang akan memberikan bantuan bencana kebakaran RM5,000 serta Umno Bahagian Ledang.

No comments:

Post a Comment