Search This Blog

Wednesday, October 22, 2014

Penyamun kejut tidur nenek, cucu


Oleh Helmy Abd Rahman dan Zarina Abdullah

am@hmetro.com.my

Marang: Seorang wanita berusia 55 tahun yang sedang tidur bersama cucunya berusia 35 hari dan anak perempuannya yang sedang berpantang, mengalami 'mimpi ngeri' apabila disamun empat penjenayah dalam kejadian di rumahnya di Kampung Bukit Jejulong, Pengkalan Berangan, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, empat suspek memakai topeng muka dengan seorang daripadanya bersenjatakan parang, menyerbu bilik tidur wanita terbabit sebelum melarikan barangan berharga bernilai lebih RM10,000.
Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa terkejut daripada tidur apabila terdengar bunyi gril sebelah tepi rumah diketuk tetapi takut untuk memeriksa.
"Tidak lama selepas itu, pintu bilik tidur mereka dipecahkan empat lelaki terbabit menggunakan tong gas memasak yang diambil dari dapur rumah berkenaan.
"Seorang daripada suspek bersenjatakan parang panjang terus mendekati wanita itu dan mengikat kedua belah tangannya dengan kain selimut.
"Pada masa sama, mangsa mendengar suspek meminta wang daripada anak perempuannnya sebelum menggeledah bilik dan bahagian lain di rumah berkenaan untuk mencari barangan berharga," katanya.
Sumber berkata, empat suspek itu kemudian menghilangkan diri beberapa minit kemudian dan apabila pasti keadaan selamat, anak perempuan mangsa membuka kain selimut yang diikat pada tangan serta mulutnya.
"Selepas membuat pemeriksaan, mangsa mendapati wang tunai berjumlah RM2,500; dua komputer riba; satu telefon bimbit; satu telefon pintar; seutas rantai emas bernilai RM2,000; barangan perhiasan; dokumen peribadi; kunci rumah dan kunci kereta hilang. Semua barangan itu bernilai lebih RM10,000," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Risikan Satiman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian, pagi semalam.
"Mangsa membuat laporan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun keseksaan kerana samun bersenjata dan berkawan.
"Polis kini giat memburu suspek dan percaya akan dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 7:46 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3344#sthash.9SepK8jq.dpuf

No comments:

Post a Comment