Search This Blog

Tuesday, October 14, 2014

Peniaga bebas hukuman gantung


Puah Hock Seng bersama Naran Singh selepas dia dibebaskan atas tuduhan membunuh abang saudaranya sewaktu prosiding di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, semalam. - Utusan/IHSAN RAKAN MEDIA
IPOH 10 Okt. - Seorang peniaga yang dituduh membunuh abang saudaranya tahun lalu, terlepas daripada hukuman gantung apabila dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, setelah dia didapati tidak siuman ketika melakukan perbuatan itu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Noorin Badaruddin ketika memutuskan demikian bagaimanapun, memerintahkan Puah Hock Seng, 57, ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, dekat sini, sehingga tempoh yang diperkenan oleh Sultan Perak.
Lelaki itu didakwa membunuh Phoon Hor Sai, 68, di No. 432, Laluan Simee 9, Kampung Simee di sini, antara pukul 10 dan 10.30 pagi, 19 Mac tahun lalu.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong mengemukakan enam saksi pendakwaan manakala Hock Seng yang diwakili peguam Datuk Naran Singh memilih untuk tidak memberi keterangan.
Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Datuk Dr. Suaran Singh hari ini dipanggil untuk memberi keterangan bagi pihak pembelaan.
Terdahulu, Suaran berpendapat, tertuduh semasa melakukan perbuatan itu, berada dalam keadaan mental yang tidak waras dan tidak sedar perbuatannya itu salah di sisi undang-undang.
"Tertuduh menghadap penyakit mental dan kemurungan. Ini memenuhi syarat tafsiran Seksyen 84 Kanun Keseksaan, peruntukkan bagi perbicaraan orang yang tidak sempurna akal," katanya.
Seksyen itu menyatakan, tidak menjadi satu kesalahan apa juga yang dilakukan oleh seseorang jika ketika itu, mentalnya berada dalam keadaan tidak waras iaitu tidak mengetahui sebab dan akibat kesalahannya itu salah atau bertentangan dengan undang-undang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20141011/ma_04/Peniaga-bebas-hukuman-gantung#ixzz3G4Z18aK7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment