Search This Blog

Wednesday, October 22, 2014

Pengawal terlepas tembakan di stesen minyak

POLIS melakukan siasatan di lokasi kejadian semalam.
Oleh Arifin Salleh
Melaka : Seorang pengawal keselamatan berusia awal 30-an ditahan polis selepas terlepas tembakan yang nyaris terkena seorang pelanggan berusia 20-an di sebuah pam minyak di Ayer Molek di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, tiga pengawal keselamatan berusia lingkungan 30-an baru selesai memasukkan duit ke dalam sebuah mesin pengeluaran wang tunai sebelum seorang pengawal tertekan picu pump gun.
Seorang pekerja stesen minyak berusia 35 tahun berkata, ketika kejadian dia berada di dalam stesen minyak sebelum terdengar bunyi letupan yang disangkakan tayar kereta meletup lalu bergegas keluar untuk melihat kejadian.
"Saya tersentak bila terdengar bunyi letupan dari arah luar lalu terus berlari keluar.
“Saya lihat seorang lelaki berusia lingkungan 20-an dalam keadaan terkejut mendakwa sebutir peluru nyaris mengenai badannya.
"Difahamkan, ketika kejadian seorang pengawal keselamatan yang baru selesai memasukkan wang ke dalam mesin menuju ke arah van dinaiki yang diletakkan berdekatan pam minyak untuk motosikal sahaja," katanya di sini, pagi tadi.
Katanya lagi, beberapa minit kemudian pengawal berkenaan yang masih memegang pump gun dan berdiri di luar van tidak sengaja tertekan picu senjata api terbabit yang disangkakan sudah dikunci.
"Peluru kemudiannya terkena pada papan tanda angin dan air terletak bersebelahan pam minyak motosikal manakala pengawal berkenaan yang bimbang diapa-apakan dikawal orang awam hingga polis tiba," katanya.
Orang awam segera menghubungi pihak polis yang tiba tidak lama kemudian dan kawasan stesen minyak terpaksa ditutup seketika.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Assisten Komisioner Shaikh Adzis Shaikh Abdullah, mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata seorang pengawal keselamatan ditahan ekoran kejadian terlepas tembakan.
"Pengawal keselamatan berkenaan ditahan untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Senjata Api 1960 atas kesalahan terlepas tembakan akibat kecuaian," katanya ketika dihubungi, pagi tadi.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 4:25 PM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3306#sthash.jUGzkXzF.dpuf

No comments:

Post a Comment