BALAKONG - Penghuni lebih 70 unit rumah di Taman Putra Budiman di sini terputus hubungan dengan kawasan luar apabila sebatang pokok bersaiz dua pemeluk tumbang menyembah bumi di laluan masuk ke perumahan itu, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, beberapa tiang elektrik turut tumbang menyebabkan enam unit rumah menghadapi gangguan elektrik.

Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee berkata, hujan lebat hampir sejam turut menyebabkan pokok yang tumbang tersangkut di tiang lampu lampu jalan.

“Penduduk terjejas teruk kerana lokasi adalah satu-satunya akses keluar masuk ke kawasan perumahan itu,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sudah dihubungi untuk membersihkan tapak manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) membaik pulih kemudahan tiang elektrik dan lampu jalan yang rosak akibat kejadian itu.