Search This Blog

Sunday, October 26, 2014

Penduduk Rantau Panjang dinasihat siap sedia hadapi banjir


ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Rantau Panjang melakukan pemeriksaan terhadap bot dan peralatan menyelamat sebagai persiapan menghadapi kemungkinan banjir. - Foto Jauhariatul Akmal Johar
KOTA BHARU: Penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Golok terutama di Rantau Panjang dinasihatkan supaya bersiap sedia untuk berpindah berikutan paras air sungai itu di jajahan berkenaan sudah melepasi paras amaran.
Cacatan dari laman sesawang info banjir Jabatan Parit dan Saliran (JPS) jam 10 pagi semalam menunjukkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang ialah 8.57 meter. Paras biasa ialah lima meter, berjaga-jaga (tujuh meter), amaran (lapan meter) dan merbahaya (sembilan meter).
Sehingga jam 1 petang semalam, paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang terus mencatatkan peningkatan ke 8.60 meter. Paras air di kesemua sungai utama yang menjadi tempat menyukat paras air turut mencatatkan peningkatan, melebih paras biasa, namun tidak melebihi paras berjaga-jaga.

PEGAWAI Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pegawai Bomba Kanan 1, Zaimi Samat menunjukkan bacaan paras air Sungai Golok berhampiran Pusat Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran di Kedai Lama. - Foto Jauhariatul Akmal Johar
Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Mohd Rizal Hasmarli Hashim, berkata walaupun masih belum ada penduduk di sepanjang Sungai Golok berpindah, namun mereka diminta berwaspada untuk berbuat demikian sekiranya keadaan terpaksa.
"Dari maklumat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, sehingga kini masih belum ada penduduk di kawasan Rantau Panjang terpaksa berpindah walaupun paras air sungai berkenaan sudah melebihi paras amaran.
"Bagaimanapun, MKN menasihatkan penduduk di Rantau Panjang terutama yang tinggal di sepanjang Sungai Golok, supaya berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan sekiranya kediaman ditenggelami air," katanya ketika dihubungi di sini.

No comments:

Post a Comment